Sewaktu saya belajar di universiti dahulu, abang-abang senior sentiasa memberi pesanan,
“walau setinggi manapun kita terbang, sentiasa ingat asal usul tarbiyyah kita”.
Kata-kata dan pesanan ini telah tersemat kejat dalam “long term memory” dan hati saya serta sahabat-sahabat sehinggalah kini.
Kerana itulah, sesibuk manapun kami sekarang, jika ada jemputan dari adik-adik di sekolah atau guru-guru untuk kami turun ke sekolah, kami akan memastikan jadual kerja kami “dikosongkan”. Sangat bahagia rasanya apabila dapat berbakti di tempat kami mula “mengenal” agama dan bumi tempat kami menerima siraman tarbiyyah.
Walaupun puluhan tahun telah berlalu..
namun setiap kali saya menjejakkan kaki ke bumi SMKA Falahiah, setiap kali itulah jiwa ini terasa hangat, segar dan membugar.. seolah-olah tidak pernah terpisah dengannya walau sedetik waktu.
Pesanan yang sama saya ingin titipkan kepada anak-anak didik yang pernah menerima sentuhan tarbiyyah di bumi ulul albab ini. Setinggi manapun kalian terbang, asal usul tarbiyyah jangan sekali-kali kalian lupakan.
Balik dan berbaktilah kepada bumi ulul albab tercinta.Jika sekarang ramai orang sudah mula memandang..Kalian semakin cantik, bergaya,segak dan tampan,
Pandangan itu tentulah kerana cahaya Al Quran, Yang telah tersemat di sanubari kalian,Yang telah bersama kita perjuangkan, dari sebuah bangunan pondok yang usang,sehinggalah ke sebuah istana huffaz yang bukan alang-alang.Jika hari ini sudah banyak lamaran dijemput,
Cakap kalian sudah bersambut,Tidak tempiaskah sedikit daripadanya,Adalah dari jasa para guru yang menabur ilmu,tanpa lelah dan jemu?
Jika hari ini nama kalian telah semerbak bak haruman, Semakin mendekat rakan dan taulan,Tidak tumpahkan sedikit daripadanya, Adalah datang dari siraman budi dan akhlak, yang telah bersama kita pasak di bumi Al Quran?
Dan Jika hari ini kalian boleh mendabik dada, Memakai di hadapan pelbagai gelaran dan nama, Bukankah ia dimulakan dengan suatu tekad dan azam, Untuk melahirkan generasi ulul albab yang mendepani zaman?
Balik dan berbaktilah.
Sebagaimana mafhum hadith; Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.
Mohd Fakrul Rizal bin Mohamed Din |
Guru Kecil Yang Bercita-Cita Melahirkan Anak Didik Yang Besar.
Cr Fakrul Ryzal
Alumni SMKA Falahiah STPM 2002
Kini, beliau bertugas sebagai kaunselor di SM Imtiyaz YT Besut