Sesungguhnya konflik mengendali dan menguruskan harta pusaka dalam keluarga Muslim boleh dielakkan jika mengikut ketetapan dan saranan dalam agama.
Konflik tercetus akibat tidak merancang dan memikirkan apa yang berlaku pada masa akan datang, termasuk membabitkan kematian sehingga mencetuskan pelbagai permasalahan keluarga. Perkara yang harus dielakkan ialah termakan harta batil dan boleh putus silaturrahim.
Firman Allah SWT : Surah An-Nisa’ 29
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ“
Wahai orang-orang Islam, janganlah kamu saling memakan (gunakan) harta-harta di antara kamu dengan jalan yang salah ( tipu, judi dan sebagainya…)”
Kebanyakan masalah harta pusaka berpunca daripada perebutan dan kelemahan mengenal pasti siapa pewaris yang berhak terhadap harta. Ramai yang tidak tahu dan gagal mengenal pasti siapa waris faraid dalam agihan pusaka sedangkan urusan itu boleh dilakukan ketika masih hidup dengan merancang harta pusaka sebaiknya.
Bahkan jika tidak sempat merancang harta sekalipun proses mengurus harta pusaka hendaklah melibatkan semua waris pusaka yang berhak. Ilmu pengetahuan bab pusaka tidak ramai yang tahu, mungkin mereka ada wang dan masa untuk menjalankan amanah tersebut.
Tapi jangan lupa pengetahuan dan perbincangan sesama waris yang berhak dan ahlinya (orang yang berpengetahuan) amat penting. Maka jika proses ini dilalui kita boleh memastikan waris akan bersetuju dan reda dengan pembahagian yang akan dilaksanakan.
Saya nyatakan sekali lagi amat penting untuk masyarakat menguasai aspek pengurusan harta pusaka kerana ia sangat kompleks untuk difahami secara teori dan praktikal. Jika ada waris yang berkeupayaan dan berkelayakan untuk menguruskan harta pusaka, maka pemegang harta berkenaan boleh memberikan amanah untuk mereka melaksanakannya.
Bagaimanapun, ilmu pewarisan Islam wajib difahami supaya setiap yang masih hidup tidak termakan harta yang batil.
MACAM MANA BOLEH BERLAKU?
1. Tercicir waris.Ada sesetengah waris mengambil pendekatan untuk tidak dimasukkan sebagai pihak dalam proses untuk mendapatkan surat pentadbir atau perintah pusaka. Ini bukan bermaksud mereka menolak bahagian mereka tetapi sebenarnya mereka ingin memudahkan urusan berkemungkinan mereka tinggal jauh, uzur atau tiada masa untuk turun naik menguruskan kes.2. Kematian berlapisAda bertanggapan mempunyai anak lelaki sudah cukup selamat dan harta tidak akan jatuh ke tangan orang lain.Sebenarnya terdapat kira-kira 25 waris terdekat yang boleh menuntut harta pusaka termasuk ibu bapa, suami, isteri, anak lelaki dan anak perempuan dalam pelbagai situasi.Bahkan, ia boleh diwarisi cucu lelaki daripada anak lelaki, adik beradik seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa, nenek sebelah bapa dan cucu perempuan daripada anak lelaki.3. Tidak tahu perbezaan yang mana harta pusaka dengan bukan harta pusaka.Biasanya si mati semasa hayatnya akan melantik penama kepada hartanya. Silap faham yang berlaku apabila penama itu telah menganggap harta itu adalah miliknya. Yang lebih teruk lagi apabila tidak boleh bezakan mana satu harta pusaka dan mana satu bukan harta pusaka. Duit sepuluh sen sekalipun jika hak milik si mati ia tetap pusaka. Inikan pula yang lebih besar daripada itu.
Kesimpulan
Sesungguhnya ilmu, masa, tenaga dan wang amat penting untuk menjadi pengurus harta pusaka si mati. Tidak salah andai pengurus harta pusaka itu menuntut balik kos yang telah dihabiskan dan dipotong daripada harta pusaka yang ditinggalkan.
Ini kerana orang yang mengurus sahaja yang tahu penat lelah ke hulu ke hilir untuk memastikan waris-waris lain mendapat hak mereka selayaknya.
Penulis adalah:
Khairul Hafiz
Alumni SMKA Falahiah STPM 2002
Saudara Khairul Hafiz adalah Peguam Syarie bagi Wilayah Persekutuan, Terengganu & Kelantan dan juga Perancang Harta Pusaka ISLAM.